KENDARI, 24 Julai- Sekurang-kurangnya 15 orang maut, manakala 19 yang lain masih hilang pada Isnin selepas sebuah feri karam di luar pantai pulau Sulawesi, Indonesia.
Ketika kejadian, dilaporkan terdapat 40 orang dalam feri berkenaan.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat di bandar Kendari, Sulawesi Tenggara, Muhamad Arafah berkata enam penumpang yang selamat telah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Punca kejadian dalam dalam siasatan.
"Terdapat 19 orang yang masih hilang," kata Muhamad dalam satu kenyataan.
"Pencarian akan dilakukan dengan membahagikan kepada dua pasukan.
"Pasukan pertama akan menyelam di sekitar tapak feri karam, manakala pasukan kedua akan melakukan pencarian di atas permukaan air sekitar lokasi kemalangan menggunakan bot getah dan bot panjang," tambahnya.
(Foto edaran Badan Penyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) menunjukkan anggota
penyelamat berlepas untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Buton Tengah,
Sulawesi barat daya selepas sebuah feri karam yang telah mengorbankan 15 orang/Foto AFP)
Kemalangan marin kerap berlaku di kepulauan Asia Tenggara, dengan orang ramai bergantung kepada feri dan bot kecil untuk mengembara meski tahap keselamatan yang rendah.
Pada 2018, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah satu tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera.
Pada Mei tahun lalu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-AFP