fb fb fb fb fb

Selepas Iran, Israel ugut serang Yaman

Sebuah peluru berpandu balistik berjaya dipintas, seperti yang kelihatan dari Sderot, Israel / Foto REUTERS

TEL AVIV, 2 Julai-Rejim Zionis Israel terus menunjukkan pendirian agresif apabila Menteri Pertahanannya, Israel Katz, mengugut untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas kumpulan Huthi di Yaman, susulan peluru berpandu kumpulan berkenaan yang didakwa dipintas sistem pertahanan Israel.

Katz, dalam satu kenyataan, menyamakan nasib Yaman dengan Tehran, sambil merujuk serangan Israel selama 12 hari ke atas Iran bulan lalu yang menyasarkan program nuklear dan peluru berpandunya.

"Selepas kami menyerang kepala ular di Tehran, kami juga akan memusnahkan Huthi di Yaman.

"Sesiapa yang mengangkat tangan terhadap Israel, tangan itu akan dipotong," katanya secara terbuka.

Israel turut memberi amaran akan melaksanakan sekatan laut dan udara terhadap Yaman, yang berisiko memburukkan lagi situasi kemanusiaan di negara itu, jika kumpulan Huthi terus melancarkan serangan.

Sejak bermulanya perang genosid Israel di Gaza pada Oktober 2023, Huthi yang menguasai kebanyakan wilayah di Yaman telah melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron ke arah wilayah Israel dan kapal-kapal di Laut Merah, sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang dibunuh dan dizalimi secara terbuka oleh rejim Zionis.

Walaupun kebanyakan serangan Huthi tidak mengorbankan nyawa dan berjaya dipintas, rejim Tel Aviv tetap bertindak balas dengan serangan udara ke atas wilayah Yaman yang kini menambahkan satu lagi medan konflik ketenteraan ciptaan Israel di rantau itu.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD