fb fb fb fb fb

Lebih 300 mayat tidak dibakar ditemukan di krematorium utara Mexico

Krematorium di negeri Chihuahua, utara Mexico/ REUTERS

CHIHUAHUA, 2 Julai- Lebih 300 mayat tidak dibakar ditemukan di sebuah krematorium di negeri Chihuahua, utara Mexico, mencetuskan kejutan dan siasatan segera oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut pihak Perkhidmatan Forensik, kira-kira 383 mayat ditemukan, terdiri daripada 218 lelaki, 149 wanita manakala 16 lagi masih belum dikenal pasti.

Pengarah Perkhidmatan Forensik, Javier Sanchez Herrera berkata, kerja-kerja pengenalpastian jantina bagi mayat yang ditemukan akan dilakukan melalui ujian makmal.

"Kerja-kerja ini memerlukan analisis lanjut bagi mengenal pasti elemen yang boleh membantu menentukan jantina. Ia akan dijalankan pasukan antropologi kami," jelas beliau.

Sementara itu salah seorang waris, Gloria Criollo, diminta untuk menyerahkan sijil lahir, borang penyerahan ke krematorium tersebut serta gambar bagi tujuan pengecaman identiti.

"Ibu bapa saya termasuk dalam kalangan individu yang sepatutnya dikremasi. Kami diberitahu bahawa pengecaman akan dibuat melalui gambar senyuman mereka, kerana ramai akan dikenal pasti melalui gigi," katanya.

Peguam Negeri Chihuahua, Cesar Jauregun, memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan, termasuk terhadap kelalaian atau kecuaian pihak berkuasa yang sepatutnya memantau premis seperti itu.

"Tindakan atau kelalaian mana-mana pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam pemantauan krematorium ini akan disiasat.

"Kami akan memastikan siasatan ini dilakukan secara menyeluruh dan pada masa sama meminimumkan kesan terhadap keluarga mangsa," tegas beliau.

Punca sebenar kegagalan krematorium itu untuk membakar mayat seperti sepatutnya masih belum dikenal pasti, namun siasatan kini sedang dijalankan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI