fb fb fb fb fb

iRonCub3 cipta sejarah, robot terbang untuk operasi di kawasan bencana

Ujian pertama iRonCub3 berjaya terbang setinggi 50 sentimeter dalam keadaan tertambat pada pelantar ujian/ REUTERS

GENOA, 2 Julai- Buat julung kalinya dalam sejarah, sebuah robot manusia yang dilengkapi peranti terbang berjaya melakukan penerbangan, sekali gus mencipta satu pencapaian penting dalam bidang robotik global.

Robot yang dinamakan iRonCub3, dibangunkan penyelidik dari Institut Teknologi Itali (IIT) di Genoa itu direka khas untuk kegunaan dalam situasi dunia sebenar seperti operasi menyelamat di kawasan bencana.

"Kami mahu membangunkan sebuah platform yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa contohnya dalam senario bencana seperti tsunami, gempa bumi, banjir, kebakaran dan bangunan yang musnah," kata Ketua Penyelidik dan Ketua Jabatan Kecerdasan Buatan dan Mekanikal di IIT, Daniele Pucci.

iRonCub3 diinspirasikan daripada watak adiwira Iron Man, serta iCub – robot manusia buatan IIT yang digunakan oleh komuniti penyelidik di seluruh dunia.

Pasukan penyelidik mengambil masa dua tahun untuk membangunkan aspek aerodinamik dan termodinamik bagi menyepadukan empat enjin jet mini pada robot berkenaan.

Dalam ujian pertamanya, iRonCub3 terbang setinggi 50 sentimeter dalam keadaan tertambat pada pelantar ujian – mirip latihan penerbangan juruterbang jetpack manusia – sambil mengekalkan kestabilan sepenuhnya sepanjang penerbangan dan pendaratan.

Robot itu dilengkapi empat enjin jet pada bahagian lengan dan belakang, membolehkannya terapung dan melakukan kemahiran penerbangan terkawal walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu.

Struktur robot turut direka dengan kerangka titanium serta penutup tahan haba bagi menahan suhu tinggi mencecah 800 darjah Celsius yang dihasilkan oleh turbin jet.

"Kami kini dalam fasa untuk merealisasikan penerbangan tanpa kabel (untethered flight).Semua bahan api sedang kami integrasikan pada badan robot untuk membolehkan penerbangan lebih lama dari segi masa dan jarak.

"Malah, kami membayangkan iRonCub3 pada masa depan akan dilengkapi sayap bagi membolehkannya melakukan penerbangan mendatar, lebih dekat dengan aplikasi dunia sebenar," kata Pucci.

Cabaran terbesar pasukan penyelidik ialah menangani isu kompleks aerodinamik dan termodinamik pada badan robot, serta membangunkan sistem kawalan lanjutan bagi sistem robotik pelbagai komponen.

"Robot ini dilengkapi pelbagai penderia termasuk penderia inersia dan daya. Kami menggunakan set algoritma untuk memproses maklumat dari semua penderia ini.

"Ia kemudiannya dihantar kepada rangkaian neural pembelajaran mesin (machine learning) bagi meramalkan daya dan mengawal pergerakan," katanya lagi.

Penyelidikan itu turut melibatkan kerjasama dengan Politeknik Milan dan Universiti Stanford, dan telah diterbitkan dalam jurnal Nature Communications Engineering.

Dengan pembangunan yang sedang diteruskan, iRonCub3 berpotensi digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti operasi mencari dan menyelamat, penjelajahan ekstrem serta pemeriksaan persekitaran berbahaya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI