NEW YORK, 2 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri New York, Zohran Mamdani, mencipta kejutan besar apabila diumumkan sebagai calon Demokrat bagi jawatan Datuk Bandar New York selepas menewaskan bekas Gabenor, Andrew Cuomo, dalam pemilihan utama parti itu.
Menerusi sistem undian pilihan berperingkat (ranked-choice voting), Mamdani memperoleh 56 peratus undi pada pusingan ketiga, sekali gus mengesahkan kedudukan sebagai calon utama parti untuk pilihan raya Datuk Bandar pada November ini.
Mamdani, 33, yang berasal dari Uganda dan merupakan seorang Muslim berfahaman sosialis demokratik, memulakan kempennya sebagai calon kurang dikenali, namun berjaya mengetepikan Cuomo seorang tokoh politik veteran dan bekas Gabenor yang disegani.
Kejayaan beliau menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pemimpin Demokrat yang berpendapat ideologi Mamdani yang lebih progresif bakal dijadikan sasaran serangan oleh Republikan.
Cuomo, yang memperoleh 44 peratus undi dalam kiraan akhir, telah menghubungi Mamdani untuk mengakui kekalahan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bertanding sebagai calon bebas, walaupun belum membuat pengumuman rasmi.
Mamdani bakal berdepan Datuk Bandar sedia ada, Eric Adams, yang kini bertanding sebagai calon bebas susulan dakwaan rasuah yang pernah dikenakan terhadapnya. Namun kes itu kemudiannya digugurkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Turut bersaing dalam pilihan raya itu ialah Curtis Sliwa, tokoh radio dan pengasas kumpulan sukarelawan antijenayah Guardian Angels yang bertanding atas tiket Republikan, serta Jim Walden, seorang peguam yang turut bertanding sebagai calon bebas.
Sistem undian pilihan berperingkat yang diperkenalkan New York City pada 2021 membolehkan pengundi menyenaraikan sehingga lima calon mengikut keutamaan.
Undi akan dikira secara berperingkat dengan menyingkirkan calon terendah dan mengagihkan semula undi mereka kepada calon yang masih bertanding, sehingga seseorang calon memperoleh lebih 50 peratus undi.-REUTERS.