GAZA, 2 Julai-Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu susulan serangan udara dan tembakan artileri oleh tentera Israel di beberapa kawasan di Gaza.
Serangan itu berlaku ketika tentera Israel mengumumkan perluasan operasi ketenteraannya menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Amerika Syarikat minggu depan.
Menurut tentera Israel, operasi ketenteraan itu menyasarkan infrastruktur Hamas termasuk kemudahan bawah tanah dan kawasan penyimpanan senjata.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal memaklumkan lapan orang terbunuh berhampiran pusat agihan bantuan di tengah dan selatan Gaza, termasuk di kawasan Jambatan Wadi Gaza dan Rafah.
Insiden turut menyaksikan seorang maut dan 50 cedera akibat serangan dari kereta kebal dan dron, ketika orang ramai sedang menunggu bantuan makanan.
Dalam satu serangan berasingan, tiga lagi dilaporkan terbunuh di hadapan sebuah sekolah yang menempatkan pelarian di kejiranan Al-Daraj.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bakal bertemu Netanyahu, dilaporkan menggesa satu perjanjian gencatan senjata segera bagi menamatkan perang dan pembebasan tebusan.-AFP.