fb fb fb fb fb

Jerman berdepan gelombang haba

Foto REUTERS

BERLIN, 2 Julai – Pekerja binaan, dan penjaja jalanan di Jerman terpaksa bergelut dengan suhu panas melampau apabila cuaca mencecah 37 darjah Celsius

Keadaan itu mendorong ramai mengambil langkah berjaga-jaga untuk kekal selamat dan terhidrat.

Di Cologne, jurutera awam Charikleia Kagiaoglou yang bekerja di tapak pemasangan kabel gentian optik, berkata ini adalah kali pertama mereka berhadapan suhu sepanas itu.

“Kami cuba kekal selamat, bukan saja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk kerja kami. Kami banyak minum air, rehat sekerap mungkin dan cuba pastikan suasana kerja selesa,” katanya.

Bagi pekerja binaan Deniz Eken, yang berasal dari Kurdistan, kepanasan melampau turut menjejaskan prestasi kerja.

“Biasanya kami boleh siapkan 100 meter kerja sehari, tetapi sekarang hanya mampu 50 atau 60 meter. Ia memang satu cabaran, tetapi kami tetap teruskan,” katanya sambil memaklumkan beliau minum sehingga enam liter air sehari bagi mengelak dehidrasi.

Di Koenigswinter, tukang bumbung yang memasang lapisan kalis air turut mengakui bergantung kepada rehat berkala dan baldi air untuk menyejukkan badan.

Sementara itu, penjaja makanan jalanan di Berlin turut terkesan. Penjual currywurst, Liliana Kwiatkowska berkata pasukannya mengambil lebih banyak rehat dan menyejukkan diri di stor sejuk beku untuk mengatasi kepanasan.

Menurut ramalan cuaca, suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan mencetuskan kebimbangan terhadap kesihatan awam serta keselamatan golongan pekerja luar.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD