fb fb fb fb fb

Macron desak putin setuju gencatan senjata segera

Foto AFP

PARIS, 2 Julai – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Presiden Rusia, Vladimir Putin supaya bersetuju dengan satu gencatan senjata di Ukraine secepat mungkin, dalam perbualan telefon rasmi pertama mereka sejak lebih dua setengah tahun lalu.

Menurut kenyataan Istana Élysée, perbincangan selama lebih dua jam itu turut membincangkan usaha diplomatik ke arah penyelesaian konflik Ukraine secara menyeluruh dan berpanjangan, selaras dengan prinsip kedaulatan serta integriti wilayah Ukraine.

“Macron menekankan sokongan tidak berbelah bahagi Perancis terhadap Ukraine, dan menggesa permulaan rundingan segera antara Ukraine dan Rusia untuk mencapai penyelesaian kekal,” kata kenyataan itu.

Kremlin pula dalam kenyataannya berkata, Putin menyalahkan dasar Barat sebagai punca utama konflik dan menegaskan bahawa sebarang penyelesaian damai perlu berdasarkan “realiti wilayah baharu” serta menghapuskan “punca utama krisis Ukraine”.

Perbualan itu juga menyentuh isu Iran, di mana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menyelaras tindakan berhubung isu nuklear dan keselamatan serantau susulan konflik Iran-Israel yang reda minggu lalu.

Macron pernah beberapa kali menelefon Putin pada tahun 2022 untuk memberi amaran terhadap pencerobohan ke atas Ukraine, termasuk membuat lawatan ke Moscow awal tahun itu.

Beliau mengekalkan komunikasi telefon selepas pencerobohan Rusia, tetapi perbualan terhenti dengan panggilan terakhir mereka direkodkan pada September 2022.

Sejak setahun lalu, Macron semakin tegas terhadap Rusia, menyatakan bahawa perluasan kuasa Rusia menjadi ancaman kepada seluruh Eropah.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD