fb fb fb fb fb

Remaja terbunuh, pejabat kerajaan diserang di Balochistan

Bank Negara Pakistan turut diserang - Reuters

MASTUNG, 1 Julai - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut, manakala lapan lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang beberapa pejabat kerajaan dan bank di Mastung, kira-kira 50 kilometer dari Quetta, ibu negeri wilayah Balochistan, Pakistan.

Menurut jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind, dua penyerang turut ditembak mati, manakala tiga lagi cedera dalam pertempuran yang melibatkan pasukan keselamatan dan Frontier Corps.

Serangan tersebut menyebabkan beberapa bangunan termasuk bank kerajaan dan swasta terbakar selepas penyerang memusnahkan serta membakar rekod rasmi.

Operasi memburu saki-baki penyerang masih diteruskan oleh pasukan keselamatan, menurut Timbalan Pesuruhjaya Mastung, Athar Abbas Raja.

Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, mengecam insiden itu dan menuduh kumpulan pengganas 'Fitna-e-Hindustan' sebagai dalang yang mensasarkan kemudahan kerajaan, termasuk kompleks pasukan Levies.

Wilayah Balochistan yang kaya dengan sumber asli sering menjadi sasaran kumpulan pemisah yang meningkatkan serangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada Mac lalu, Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) melancarkan serangan ke atas landasan kereta api, mengakibatkan 31 orang awam dan anggota keselamatan terkorban. - REUTERS

TUN JULIA MOHD TAHIR