fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 8 maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Vietnam

Foto AFP

HANOI, 8 Oktober - Sekurang-kurangnya lapan maut dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Vietnam, minggu ini.

Berpuluh-puluh ribu lagi penduduk terperangkap di rumah atau terpaksa berpindah selepas beberapa kawasan sekitar bandar Thai Nguyen, kira-kira 80 kilometer dari utara ibu kota Hanoi, dinaiki air.

Menurut Kementerian Alam Sekitar, lapan kematian dilaporkan di kawasan pergunungan utara Vietnam sejak Isnin lepas, dengan lima yang lain masih hilang.

Menjelang pagi Rabu, biro cuaca memaklumkan, paras air sungai Cau yang merentasi bandar Thai Nguyen melepasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 28.81 meter ketika Taufan Yagi membadai pada September tahun lalu.

Sejak semalam dan hari ini, tular di media sosial rayuan para penduduk yang terkandas tanpa bekalan elektrik, serta bekalan makanan dan minuman yang tidak mencukupi di wilayah Thai Nguyen, Cao Bang dan Lang Son.

Banjir itu susulan hujan lebat akibat Taufan Matmo yang membadai utara Vietnam pada Isnin lepas.

Matmo melanda seminggu selepas Taufan Bualoi membadai, menyebabkan banjir besar yang mengorbankan sekurang-kurangnya 56 orang dan menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan lebih $710 juta. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN