fb fb fb fb fb

Beruang liar ceroboh pasar raya di Jepun, dua cedera

Foto AFP

TOKYO, 8 Oktober- Seekor beruang liar mencetuskan situasi panik apabila menceroboh sebuah pasar raya di Numata, wilayah Gunma, Jepun pada Selasa malam, menyebabkan dua lelaki cedera dan pelanggan lari menyelamatkan diri.

Menurut pihak berkuasa, beruang dewasa setinggi kira-kira 1.4 meter itu mencederakan seorang lelaki berusia 70-an dan seorang lagi dalam lingkungan 60-an.

Ia berada di dalam pasar raya selama kira-kira empat minit selepas masuk melalui pintu utama.

“Beruang itu hampir memanjat peti ikan dan memecahkan kaca. Di bahagian buah-buahan, ia menolak timbunan avokado hingga bertaburan,” kata pegawai pengurusan pasar raya, Hiroshi Horikawa.

Ketika kejadian, sekitar 30 hingga 40 pelanggan berada di dalam premis.

Beruang tersebut dikatakan menjadi semakin agresif apabila gagal mencari jalan keluar.

Insiden itu berlaku ketika Jepun berdepan peningkatan kes kemunculan beruang liar di kawasan perumahan, dipercayai berpunca daripada perubahan iklim dan penurunan populasi manusia di kawasan luar bandar.

Dalam satu kejadian berasingan di wilayah Iwate, seorang lelaki ditemukan mati di kawasan pergunungan selepas dipercayai diserang beruang.

Seorang petani turut dicakar dan digigit beruang yang bersama seekor anaknya di luar rumahnya, manakala seorang pelancong Sepanyol diserang beruang di hentian bas perkampungan pelancongan Shirakawa-go pada Ahad lalu.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, sebanyak 108 kes serangan beruang dilaporkan di seluruh Jepun, termasuk lima kematian, antara April hingga September. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM