RAKHINE, 11 Disember – Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh termasuk pesakit, selepas sebuah hospital di negeri Rakhine, barat Myanmar, terkena serangan udara oleh junta tentera pada Rabu malam, menurut kumpulan pemberontak, seorang pekerja bantuan dan seorang saksi.
Lebih 70 mangsa turut cedera, kata mereka.
Jurucakap Tentera Arakan (Arakan Army), Khine Thu Kha berkata hospital di daerah Mrauk U itu dibedil bom yang dijatuhkan pesawat tentera, ketika pertempuran antara kumpulan etnik bersenjata itu dan junta semakin memuncak di wilayah pesisir berkenaan.
Pihak junta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, dan jurucakapnya gagal dihubungi untuk mengulas kejadian tersebut.
Imej lokasi kejadian yang disahkan Reuters menunjukkan bangunan hospital di Mrauk U mengalami kerosakan teruk, sepadan dengan rupa bentuk fasad bangunan, panel tingkap, susun atur jalan serta kawasan perairan berdasarkan imej arkib dan satelit.
Sumber pemberontak, pekerja bantuan dan saksi mengesahkan serangan berlaku pada malam 10 Disember, sementara foto keadaan selepas kejadian dirakam pada 11 Disember.
Serangan terhadap infrastruktur kesihatan semakin meningkat berikutan konflik antara junta Myanmar dan kumpulan etnik bersenjata yang kian meruncing sejak rampasan kuasa 2021, sekali gus menambah penderitaan penduduk awam yang terperangkap di zon perang. -REUTERS