fb fb fb fb fb

Kerajaan Bulgaria umum perletakan jawatan selepas protes antirasuah besar-besaran

Perdana Menteri Bulgaria, Rossen Jeliazkov (tengah) menyampaikan ucapan susulan peletakan jawatan kerajaannya, di Parlimen di Sofia/foto AFP

SOFIA, 12 Disember - Perdana Menteri Bulgaria, Rossen Jeliazkov, mengumumkan peletakan jawatan kerajaannya pada Khamis selepas kurang setahun memerintah, susulan siri protes antirasuah besar-besaran.

Pengumuman itu dibuat beberapa minit sebelum Parlimen mengundi usul undi tidak percaya yang dibawa pihak pembangkang.

Puluhan ribu rakyat turun ke jalan raya di seluruh negara sejak semalam bagi membantah rasuah dan draf bajet 2026 yang didakwa didakwa cuba menutup ketirisan besar dalam kerajaan.Walaupun bajet itu ditarik balik minggu lalu, kemarahan rakyat terus memuncak.

“Kerajaan meletak jawatan hari ini. Rakyat daripada semua peringkat umur, latar etnik dan agama telah menyuarakan sokongan terhadap peletakan jawatan ini. Tenaga rakyat ini harus disokong dan didorong," kata Jeliazkov kepada wartawan selepas mesyuarat pemimpin parti pemerintah.

Parlimen negara itu dijangka meluluskan peletakan jawatan kerajaan pada Jumaat, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya baharu.

Sementara itu, pemimpin pembangkang dari parti We Continue the Change, Assen Vassilev, menyambut baik peletakan jawatan itu.

“Ini langkah pertama ke arah menjadikan Bulgaria sebuah negara Eropah yang normal. Langkah seterusnya ialah mengadakan pilihan raya bebas dan adil,” katanya di Parlimen.

Bulgaria, negara termiskin dalam Kesatuan Eropah dijadual menyertai zon euro pada 1 Januari 2026, walaupun berdepan ketidaktentuan politik berpanjangan.

Negara Balkan itu telah beberapa kali mengadakan pilihan raya tergempar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan parti-parti politik gagal membentuk kerajaan yang stabil.

Parti konservatif GERB pimpinan Boyko Borissov muncul parti terbesar dalam pilihan raya terbaru tahun lalu, membentuk kerajaan campuran yang memerintah sejak Januari.– AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI