fb fb fb fb fb

Rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Indonesia: Angka rasmi kematian 125 orang

(Waris mangsa rempuhan selepas perlawanan bola sepak di antara antara Arema FC
dan Persebaya Surabaya bertukar ganas di Stadium Kanjuruhan
di Malang, Jawa Timur, Indonesia, sedang menunggu di luar hospital/AFP)


MALANG, 2 Oktober- Angka kematian akibat rempuhan berpunca daripada rusuhan penonton perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Indonesia disahkan berjumlah 125 daripada angka yang dilaporkan sebelum ini iaitu 174 orang.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan ia berikutan pertindihan bilangan atau pengiraan dua kali yang memberikan jumlah tidak tepat.

Timbalan Gabenor Jawa Timur Emil Dardak berkata,  data dikumpul oleh polis tempatan dari 10 hospital.

"Buat masa ini angka rasmi kematian ialah 125. 124 telah dikenal pasti dan satu belum.

"Beberapa nama telah direkodkan dua kali kerana mereka telah dirujuk ke hospital lain dan ditulis semula," kata Timbalan Gabenor Jawa Timur Emil Dardak kepada penyiar Metro TV, memetik data dikumpul oleh polis tempatan dari 10 hospital," katanya kepada Metro TV.

Terdahulu, laporan menyebut kematian akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan di sini membabitkan sekurang-kurangnya 174 mangsa, susulan tembakan gas pemedih mata dilepaskan pihak polis.

Tindakan melepaskan gas pemediah mata itu susulan rusuhan penyokong ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC (Arema) dan Persebaya Surabaya (Persebaya) yang menyaksikan penonton cuba merempuh keluar dari stadium.

Tragedi pada malam Sabtu itu, yang turut menyebabkan lebih 180 mangsa mengalami kecederaan, adalah antara kemalangan terburuk di dunia membabitkan stadium sukan.

Penyokong Arema yang tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 3-2, menceroboh ke dalam padang dan memaksa anggota polis menembak gas pemedih mata.

Ia adalah kekalahan pertama Arema kepada seteru utama itu dalam tempoh lebih dua dekad.

Tembakan gas pemedih mata menyebabkan penyokong bertempiaran lari sehingga ada yang terkorban akibat terjatuh dan dipijak.

"Mereka berebut-rebut keluar melalui satu pintu saja. Akibat terlalu sesak, ada yang tidak dapat bernafas dan tidak cukup oksigen," kata ketua polis Jawa Timur, Nico Afinta.

Kerajaan Indonesia juga kesal di atas kemalangan berkenaan dan berjanji akan melakukan siasatan terperinci berhubung kes yang turut mengorbankan dua anggota polis itu.

Pihak polis, yang menyifatkan tindakan penyokong terbabit sebagai 'rusuhan' berkata tembakan gas pemedih mata dilepaskan bagi memaksa penyokong kembali ke tempat duduk mereka.

Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak, memberitahu Kompas TV sebentar tadi bahawa sekurang-kurangnya 174 mangsa maut, meningkat berbanding 129 mangsa, yang dimaklumkan sebelum ini

Pihak polis berkata sebahagian besar mangsa maut kerana dipijak atau sesak nafas selepas panik kerana terperangkap apabila dihujani tembakan gas pemedih mata.

Stadium yang boleh memuatkan 42,000 orang itu padat dipenuhi penonton dan kira-kira 3,000 orang memasuki padang apabila perlawanan berakhir manakala 13 kenderaan turut musnah dalam rusuhan itu.

Persaingan ganas dalam kalangan penyokong tegar bola sepak di Indonesia adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi dalam kes Arema dan Persebaya, yang sememangnya seteru tradisi.

Sehubungan itu, kerajaan mengesyorkan pertandingan diadakan pada waktu tengah hari dan tiada tiket dijual kepada penyokong Persebaya memandangkan pertandingan berlangsung di Malang.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras, Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, berkata penganjur tidak mengendahkan saranan itu dan mengadakan pertandingan pada waktu petang.

"Malah, mereka juga menjual kesemua 42,000 tiket walaupun disyorkan hanya mencetak 38,000 tiket," katanya.

(Taburan kelopak bunga dan lilin dinyalakan   di luar Stadium Kanjuruhan di Malang,
Jawa Timur, Indonesia, bagi memperingati mangsa tragedi/AFP)

Rusuhan dalam kalangan peminat bola sepak adalah masalah yang kerap berlaku di Indonesia, sehingga mengakibatkan kejadian yang meragut nyawa.

Arema FC dan Persebaya Surabaya adalah musuh dalam bola sepak sejak sekian lama.

Penyokong Persebaya Surabaya tidak dibenarkan membeli tiket perlawanan itu kerana bimbang berlaku keganasan.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras bagi hal ehwal politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, berkata penganjur tidak mengendahkan syor untuk mengehadkan jumlah tiket serta cadangan mengadakan perlawanan pada sebelah petang berbanding malam.

Sementara itu, tinjauan medapati peminat Arema menabur kelopak bunga di monumen maskot kelab itu di luar stadium sebagai penghormatan kepada mangsa yang terkorban. -AFP

Media Baharu