fb fb fb fb fb

174 maut dalam rempuhan stadium bola sepak Indonesia

(Kereta yang dibakar dalam insiden rusuhan di stadium bola sepak Indonesia/AFP)

MALANG, 2 Oktober- Sekurang-kurangnya 174 orang maut di stadium bola sepak Indonesia selepas ribuan penyokong tuan rumah menceroboh padang dan polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata.

Tragedi pada malam Sabtu di bandar Malang yang turut menyebabkan 180 cedera, merupakan antara bencana stadium sukan terburuk di dunia.

Penyokong Arema yang tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 3-2, menceroboh masuk ke dalam padang dan memaksa anggota polis menembak gas pemedih mata.

Polis menyifatkan pergolakan itu sebagai "rusuhan" dan memaklumkan mereka cuba memaksa penyokong untuk kembali ke tempat duduk dan melepaskan gas pemedih mata selepas dua pegawai terbunuh.

Menurut Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak, kebanyakkan mangsa meninggal dunia akibat dipijak dan lemas kerana terhidu gas pemedih mata.

Angka kematian akibat rusuhan itu, kini mencecah 174 orang. Jumlah itu meningkat 45 orang lagi berbanding 129 pada tengah hari.


(Seorang mangsa diangkat selepas berlaku rusuhan perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur/AFP)

Pada perlawanan liga antara kelab Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia malam tadi, dianggarkan seramai 42,000 penyokong hadir menyaksikan perlawanan. Ia telah melebihi had stadium, 38,000 orang.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo mengarahkan siasatan terhadap tragedi itu, semakan keselamatan semua perlawanan bola sepak dan mengarahkan persatuan bola sepak negara itu menangguhkan semua perlawanan sehingga "penambahbaikan keselamatan" selesai.

“Saya amat kesal dengan tragedi ini dan saya berharap tragedi bola sepak ini akan menjadi yang terakhir di negara kita,” kata Widodo.

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Mahfud MD berkata kegagalan penganjur mematuhi saranan pihak berkuasa untuk mengadakan perlawanan pada waktu petang juga menyumbang kepada tragedi.

Penganjur juga katanya gagal mengendahkan syor penjualan tiket kepada 38,000 keping sahaja.-AFP

Media Baharu