fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 1,000 maut dalam gempa bumi Afghanistan

(Rakyat Afghanistan beratur dalam barisan untuk menderma darah untuk mangsa gempa bumi yang dirawat di sebuah hospital di bandar Sharan selepas cedera dalam gempa bumi/AFP)

SHARAN, 23 Jun- Angka korban akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda wilayah sempadan terpencil di Afghanistan semalam meningkat kepada sekurang-kurangnya 1,000 orang dan mencederakan 1,500 yang lain, kata pegawai hari ini, dengan jumlah korban dijangka meningkat.

"Orang ramai sedang menggali kubur demi kubur," kata Mohammad Amin Huzaifa, Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan di Paktika yang terjejas teruk, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya 1,000 orang telah mati di wilayah itu sahaja.

Beliau berkata lebih 1,500 orang cedera, ramai yang kritikal.

“Orang ramai masih terperangkap di bawah runtuhan,” katanya kepada wartawan.

(Bangunan rosak berikutan gempa bumi di daerah Gayan, wilayah Paktika/AFP)

Angka kematian meningkat secara berterusan sepanjang hari apabila berita mengenai korban disaring dari kawasan yang sukar dijangkau di pergunungan, dan pemimpin tertinggi negara itu, Hibatullah Akhundzada, memberi amaran kemungkinan meningkat lagi.

Gempa bumi melanda kawasan yang sudah mengalami kesan hujan lebat, menyebabkan batu dan tanah runtuh yang menghalang usaha menyelamat.

“Kami percaya hampir 2,000 rumah musnah,” kata Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Afghanistan, Ramiz Alakbarov, kepada pemberita. -AFP

Media Baharu