fb fb fb fb fb

Sekolah PBB di Gaza dibedil Israel, 37 terbunuh

Jenazah mangsa yang terbunuh akibat serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah PBB dikumpulkan di pekarangan sebuah hospital di Deir al Balah/Foto AFP

GAZA, 7 Jun - Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan terbaharu rejim zionis Israel ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Serangan dibuat dikala AS, Qatar dan Mesir masih meneruskan rundingan untuk mendapatkan kata sepakat gencatan senjata dan pertukaran tahanan tebusan.

Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel bersikap telus berhubung serangan itu.

"Kerajaan Israel telah mengatakan bahawa mereka akan mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai serangan ini, termasuk nama-nama mereka yang mati di dalamnya. Kami menjangkakan mereka akan telus sepenuhnya dalam mendedahkan maklumat itu kepada umum," menurut jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller kepada pemberita.

Ketua dasar luar EU Josep Borrell menggesa serangan itu disiasat secara bebas.

Israel mendakwa kumpulan Hamas di Gaza menjadikan sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain termasuk kemudahan yang dikendalikan UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin, sebagai pusat operasi mereka.

Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah, berhampiran Nuseirat, berkata telah menerima sekurang-kurangnya 37 mayat daripada serangan itu.

Pelarian Gaza, Faisal Thari yang berlindung di sekolah itu turut mempersoalkan tindakan kejam Israel yang mengebom tempat perlindungan mereka.

Seorang pegawai perubatan di hospital Syahid Al-Aqsa berkata, satu lagi serangan Israel pada waktu malam yang menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat,  menyebabkan enam orang terbunuh,  manakala sebilangan yang lain cedera.  

Menurut sumber di bandar Selatan Gaza, pesawat perang Israel juga melakukan serangan di beberapa bahagian di Rafah.

Serangan tanpa henti Israel sejak 7 Oktober tahun lalu telah membunuh sekurang-kurangnya 36,654 orang di Gaza.

Kebanyakannya orang awam, wanita dan kanak-kanak menurut kementerian kesihatan wilayah Hamas. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN