fb fb fb fb fb

PBB kutuk serangan RSF di sebuah perkampungan akibatkan lebih 100 orang terbunuh

FOTO HIASAN

NEW YORK, 7 Jun- Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Khamis mengutuk serangan separa tentera ke atas sebuah kampung di Sudan yang dilaporkan menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.

Rapid Support Forces (RSF), yang telah berperang dengan tentera sejak April 2023, pada Rabu menyerang perkampungan Wad al-Noura di negeri al-Jazira dengan artileri berat, kata Jawatankuasa Penentangan Madani kumpulan pro-demokrasi.

Jumlah kematian dilaporkan seramai 104 orang.

"Setiausaha Agung mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilaporkan dilakukan pada 5 Jun oleh RSF di kampung Wad Al-Noura, yang dikatakan telah membunuh lebih 100 orang," kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Dujarric turut menyeru semua pihak yang berperang di Sudan untuk menahan diri daripada serangan yang membahayakan orang awam.

Sudan berdepan konflik peperangan antara tentera yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dan pasukan RSF separa tentera yang diketuai oleh bekas timbalannya, Jeneral Mohamed Hamdan Daglo.

"Setiausaha Agung menyatakan kebimbangannya mengenai penderitaan besar penduduk Sudan akibat permusuhan yang berterusan," kata Dujarric.

"Beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk semua pihak menyenyapkan senjata mereka di seluruh Sudan dan komited kepada jalan ke arah keamanan yang mampan untuk rakyat Sudan," tambah jurucakap itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE