fb fb fb fb fb

Sekatan Israel jejas kesihatan kanak-kanak, wanita di Gaza– WHO

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 13 Mei- Sekatan Israel terhadap kemasukan barangan dan bantuan ke Gaza sejak 2 Mac lalu terus memburukkan keadaan penduduk Palestin, khususnya daripada segi kesihatan kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 57 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan sejak sekatan bermula dan dijangka akan terus meningkat.

"Jika keadaan berterusan, hampir 71,000 kanak-kanak bawah lima tahun berisiko mengalami kekurangan zat makanan serius dalam tempoh 11 bulan akan datang.

"Dalam tempoh sama, hampir 17,000 wanita hamil dan menyusu dijangka memerlukan rawatan segera akibat masalah pemakanan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa sebelum ini memberi amaran bahawa usaha bantuan kemanusiaan di Gaza kini berada di ambang kegagalan ekoran sekatan berterusan Israel selama dua bulan terhadap penghantaran bantuan ke wilayah tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, petugas di pusat pengagihan makanan di utara Gaza memaklumkan bahawa mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan setiap individu bagi membolehkan lebih ramai menerima bantuan.

"Kami hanya mampu bantu antara 5,000 hingga 7,000 orang sehari. Selebihnya tidak dapat apa-apa.

"Semua orang lapar dan sangat memerlukan makanan," kata petugas pengagihan makanan di kawasan berkenaan, Fadi Abu Siut.

Seorang penduduk yang kehilangan tempat tinggal, Abdul Rahman Abu Al-Aish pula meluahkan rasa kecewa apabila makanan yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarganya.

"Makanan ini sepatutnya untuk 10 orang, tapi saya ada 10 cucu. Macam mana nak cukup?” katanya.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM