MEXICO, 13 Mei– Seorang calon datuk bandar di negeri timur Mexico, Veracruz, maut ditembak ketika beramah mesra dengan penyokong selepas satu acara kempen pilihan raya pada Ahad lalu.
Menurut Pejabat Pendakwa Negeri Veracruz, calon dari parti pemerintah Morena, Yesenia Lara Gutierrez, diserang sekumpulan individu menaiki motosikal yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Tiga lagi individu turut terbunuh manakala tiga yang lain cedera dalam insiden tersebut.
Difahamkan, Lara Gutierrez sempat menyiarkan siaran langsung acara berkenaan di akaun Facebook miliknya sebelum rakaman terhenti secara tiba-tiba sejurus insiden tembakan berlaku, memaparkan orang ramai melarikan diri.
Presiden Claudia Sheinbaum memaklumkan bahawa motif serangan masih belum dikenal pasti setakat ini, lapor media tempatan.
Mexico berdepan gelombang keganasan politik menjelang pilihan raya umum 2024, yang dianggap antara paling berdarah dalam sejarah negara itu dengan sekurang-kurangnya 39 calon dilaporkan dibunuh, menurut data firma keselamatan Integralia.- REUTERS