fb fb fb fb fb

Gempa bumi 4.4 magnitud cetus kebimbangan penduduk Itali

Foto INGV

NAPLES, 13 Mei– Gempa bumi berukuran 4.4 magnitud menggegarkan kawasan gunung berapi aktif Campi Flegrei (Phlegraean Fields) berhampiran Naples, Itali, hari ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan Itali (INGV), gempa itu berlaku pada pukul 12.07 tengah hari waktu tempatan, pada kedalaman tiga kilometer.

Datuk Bandar Pozzuoli, Gigi Manzoni, memaklumkan bahawa siri gegaran besar sedang berlaku dan menggesa penduduk supaya bertenang serta berkumpul di kawasan terbuka sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kerosakan diterima.

Namun, perkhidmatan metro dan kereta kabel di Naples digantung sementara, manakala pemeriksaan struktur bangunan giat dijalankan pasukan bomba.

Campi Flegrei merupakan kawasan kawah gunung berapi terbesar di Eropah dan pernah mencatatkan letusan dahsyat kira-kira 40,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan tiada tanda peningkatan risiko letusan dalam masa terdekat.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM