(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI di Sungai Abong)
MUAR, 4 September - ‘Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai,’ tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang muak dengan tindakan pembangkang kerana menakut-nakutkan orang Melayu.
Perdana Menteri berkata sebagai kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat mahu corak politik negara diubah terutama pembangkang agar tidak membangkitkan isu hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam.
"Siapa yang boleh pertikai kepemimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu...(jawapannya) tidak ada.
"Kawan-kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai," katanya yang berucap dihadapan ribuan hadirin di Ceramah Mega Perpaduan Madani malam tadi.
Oleh itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan kepimpinan parti pembangkang yang pernah diberi peluang menjadi pemerintah sebelum ini.
“Tiga tahun mereka perintah, mana dia perubahan untuk orang Melayu? Adakah dipertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam tiga tahun lalu? Apakah Islam ditegakkan dengan lebih baik? Adakah rasuah berkurangan? adakah amalan 'sakau' harta rakyat berkurangan? Tidak ada, yang banyak hanya slogan.
“Orang Melayu dah lama dan biasa dengan janji, orang melayu dah biasa dengan slogan-slogan Islam dan Melayu.
“Jadi, tak usahlah gunakan ia untuk takutkan orang Melayu" katanya.
(Anwar Ibrahim harap pengundi Simpang Jeram beri sokongan kepada
calon PH - Ir. Nazri Abdul Rahman/FOTO FB Anwar Ibrahim)
Tambah Anwar, di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan beliau mahu nasib rakyat pelbagai kaum di negara ini mendapat keadilan sewajarnya selagi diberikan mandat memerintah negara.
Anwar mengulangi pendiriannya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai ekonomi yang hebat di rantau ini.
Oleh itu, beliau berkata tidak kisah dengan pihak pembangkang yang cuba menentangnya.
“Saya sedaya upaya nak buktikan, nak jadikan Malaysia yang ada Johor di dalamnya (sebagai) negara yang maju dan hebat ekonominya.
“Makilah saya macam mana sekali pun, kamu cerca dan hinalah saya macam mana pun, ia bukan baru (bagi saya, sudah) 25 tahun saya dihina. I don’t care.
“Saya nak guna kuasa ini untuk tolong negara dan rakyat," tegasnya.
Oleh itu, pengundi Simpang Jeram diharap terus memberi sokongan kepada calon PH - Simpang Jeram, Ir. Nazri Abdul Rahman untuk menjadi wakil rakyat kepada 40, 379 penduduk di kawasan itu.
“Angkat Nazri biar dia kerja, biar kita pantau, biar dia pastikan Johor dan Kerajaan Persekutuan bantu orang di Simpang Jeram. Pastikan Nazri menang selesa,” katanya disambut sorakan hadirin.
Kira-kira hampir seribu hadirin pelbagai kaum yang juga merupakan pengundi di Simpang Jeram hadir pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Sungai Abong, di sini malam tadi.
Ceramah dimulakan dengan tayangan video durasi 1 minit bagi memperingati perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
PRK Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.
Dalam PRK kali ini, Nazri berdepan saingan tiga penjuru, melawan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Mazri Yahya (Perikatan Nasional) dan calon bebas yang juga ahli perniagaan S.Jeganathan.