TAIPEI, 4 September- Taiwan berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik kepada lebih 40,000 isi rumah selepas Taufan Haikui melanda timur dan selatan pulau itu.
Taufan itu telah merencatkan kelangsungan rutin ekonomi termasuk pembatalan penerbangan domestik, penutupan perniagaan dan sekolah.
Haikui, taufan pertama yang melanda Taiwan dalam tempoh empat tahun telah mendarat di kawasan pergunungan yang berpenduduk jarang, jauh di tenggara Taiwan pada petang Ahad.
Ia kemudian bergerak merentasi bahagian selatan pulau itu.
Syarikat utiliti milik kerajaan, Taipower dalam kenyataan memaklumkan Haikui telah memadamkan bekalan elektrik lebih 160,000 isi rumah.
Daerah dan bandar di seluruh selatan, timur dan tengah Taiwan membatalkan kelas dan mengisytiharkan cuti untuk pekerja pada Isnin manakala ibu kota Taipei, alami hujan lebat.
Jabatan bomba Taiwan melaporkan lima cedera akibat taufan itu, namun tiada sebarang kematian dilaporkan.
(Tiupan angin kencang akibat Taufan Haikui merosakkan payung seorang lelaki/AFP)
"Lebih 7,000 orang telah dipindahkan, terutamanya di selatan dan timur," jelas kerajaan Taiwan kepada media.
Syarikat penerbangan Taiwan membatalkan kebanyakan penerbangan domestik pada Isnin manakala perkhidmatan feri ke pulau-pulau sekitarnya juga ditangguh sementara waktu.
"Terdapat kurang gangguan kepada penerbangan antarabangsa, dengan hanya 15 yang dibatalkan," kata Pentadbiran Aeronautik Awam.
"Setakat pagi Isnin, Haikui mula memasuki Selat Taiwan dan menuju ke China."
Ia akan terus membawa hujan lebat di seluruh Taiwan pada pertengahan minggu," kata Biro Cuaca Pusat Taiwan.
Haikui dilapor jauh lebih lemah daripada Taufan Saola, yang melanda Hong Kong dan wilayah Guangdong di selatan China pada Sabtu.
Peramal cuaca dan lautan negara China mengeluarkan amaran awal pada Isnin untuk Haikui, memberi amaran angin kencang dan ombak besar di sekitar wilayah pantai Fujian dan Guangdong serta memberitahu kapal-kapal mengambil langkah berjaga-jaga, lapor media negara China.- REUTERS