fb fb fb fb fb

“Saya fikir sesiapa yang mulakan perang ini akan dapat menamatkannya" - Zelensky

KIEV, 24 April - Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menegaskan beliau terbuka untuk sekali lagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Rusia Vladimir Putin dalam usaha untuk menamatkan perang.

“Saya fikir sesiapa yang memulakan perang ini akan dapat menamatkannya,” katanya pada sidang media di stesen metro di tengah-tengah ibu negara Ukraine.

Beliau berkata tidak gentar untuk bertemu Putin jika ia akan membawa kepada perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine.

“Dari awal lagi, saya telah bertegas untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia,” kata Zelensky.

“Bukan saya mahu (bertemu dia), tetapi saya perlu berjumpa dengannya untuk menyelesaikan konflik ini dengan cara diplomatik.

"Kami mempunyai keyakinan terhadap rakan kami, tetapi kami tidak mempunyai keyakinan terhadap Rusia," tambahnya.

Menurut Zelensky, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken akan melawat Kiev pada Ahad.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin juga akan melawat, katanya kepada media. Ia akan menjadi lawatan rasmi pertama oleh pegawai kerajaan AS sejak pencerobohan 24 Februari.

Bagaimanapun, seorang pegawai Jabatan Negara AS enggan mengulas.-AFP

Sementara itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengkritik keputusan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk melawat Moscow, sebelum menuju ke Kiev.

Keputusan itu tegas beliau, adalah tidak adil dan tidak logik.


(Zelensky berucap pada sidang akhbar dengan
media antarabangsa di stesen metro, di Kiev / FOTO AFP) 

Sebaliknya, Guterres perlu ke Ukraine terlebih dahulu, untuk melihat penduduk di negara itu, akibat pencerobohan.

Zelensky juga mengulangi amaran bahawa Kiev akan memutuskan rundingan jika Moscow membunuh tentera Ukraine di pelabuhan Mariupol.

Beliau bersedia melakukan penukaran terhadap tentera Ukraine yang mempertahankan bandar itu dalam apa jua cara bagi menyelamatkan mereka yang kini berada dalam situasi yang berisiko akibat dikepung.

Pegawai Ukraine pada Sabtu menuduh Rusia menggagalkan percubaan baru untuk memindahkan orang awam dari Mariupol.

Zelensky berkata bahawa hari ini adalah salah satu hari yang paling sukar sejak permulaan pengepungan Rusia di bandar itu pada awal Mac.

Zelensky juga berkata lapan orang terbunuh, manakala 18 yang lain cedera dalam serangan Rusia di pelabuhan Laut Hitam Odessa.-AFP

Media Baharu