fb fb fb fb fb

SAR 10 pelombong Mexico terperangkap, terpaksa tunggu paras air turun

(FOTO AFP)

BANDAR MEXICO, 10 Ogos- Operasi menyelamat 10 pelombong terperangkap di Mexico akan diteruskan selepas berlaku penurunan paras air di lombong berkenaan.

Ia bagi memudahkan operasi menghantar pasukan penyelamat untuk memasuki lombong yang terletak di Agujita, utara negeri Coahuila.

Pihak berkuasa menggunakan dron bawah air yang dilengkapi kamera memutuskan ia masih berbahaya membenarkan pasukan penyelamat meneruskan misi.

"Jangkaan hari ini atau esok, paras air akan menurun sehingga 1.5 meter membolehkan penyelam dan penyelamat memasukinya," kata Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador kepada media tempatan.

Pasukan penyelamat termasuk anggota tentera dan penyelam tentera berusaha untuk menyelamatkan pelombong dalam insiden yang kini memasuki tempoh seminggu.

Imej yang diambil menggunakan dron menunjukkan terdapat halangan dan arus air menjadikannya berbahaya untuk memasuki lombong.

Fokus ketika ini adalah untuk mengepam keluar air dari lombong sedalam 60 meter itu.

Paras air telah berkurang daripada lebih 30 meter sebelum itu kepada sekurang-kurangnya 10 meter.

Lima pekerja berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian pada 3 Ogos.

Coahuila merupakan wilayah pengeluar arang batu utama di Mexico.


(FOTO AFP)

Kemalangan paling teruk berlaku pada 2006 dalam satu letupan yang mengorbankan 65 nyawa di lombong Pasta de Conchos.

Tahun lalu, tujuh pelombong maut akibat terperangkap di wilayah itu.-AFP

Media Baharu