MUMBAI, 16 Januari - Pelakon terkenal Bollywood Saif Ali Khan, telah menjalani pembedahan pada Khamis selepas ditikam berulang kali dalam satu kejadian cubaan pecah rumah di kediamannya di Mumbai, menurut pasukan hubungan awamnya.
Khan, 54 merupakan suami kepada pelakon terkenal Kareena Kapoor. Beliau juga anak kepada bekas kapten kriket India, Mansur Ali Khan Pataudi, dan pelakon Bollywood terkenal, Sharmila Tagore.
“Terdapat cubaan pecah rumah di kediaman Encik Saif Ali Khan,” kata pasukannya sambil menyeru para peminat untuk bersabar.
Kapoor pula memberitahu media tempatan bahawa, “Saif mengalami kecederaan di lengan dan kini sedang dirawat di hospital.”
“Ahli keluarga yang lain berada dalam keadaan baik,” tambahnya.
Antara karya lakonannya yang terkenal termasuk filem hit tahun 2001 Dil Chahta Hai dan siri jenayah popular Netflix Sacred Games.
Menurut Niraj Uttamani, seorang pegawai kanan di Hospital Lilavati, Mumbai, yang ditemu bual oleh akhbar The Hindustan Times, pelakon itu mengalami enam kecederaan termasuk dua yang lebih dalam.
Agensi berita Press Trust of India turut menyiarkan gambar pasukan polis menjalankan pemeriksaan forensik di kediaman Khan di Mumbai.