fb fb fb fb fb

Gunung Ibu meletus, penyelamat pindahkan ribuan penduduk

Foto AFP

JAKARTA, 16 Januari- Ratusan penduduk dipindahkan, manakala ribuan lagi menunggu giliran selepas gunung berapi meletus di timur Indonesia, menurut pihak berkuasa pada Khamis.

Gunung Ibu, yang terletak di pulau terpencil Halmahera di wilayah Maluku Utara, meletus pada Rabu, mengeluarkan asap setinggi empat kilometer ke udara.

Agensi Geologi Indonesia mengeluarkan status amaran gunung berapi dinaikkan ke tahap tertinggi. Ia mendorong pihak berkuasa tempatan memerintahkan pemindahan 3,000 penduduk yang tinggal berhampiran.

Sehingga pagi tadi, seramai 517 penduduk dari kampung yang paling dekat dengan gunung berapi telah dipindahkan, manakala selebihnya dijadualkan dipindahkan pada sebelah petang.

"Kemudahan pusat pemindahan telah disediakan oleh pihak pentadbiran tempatan dan hari ini pemindahan menyeluruh akan dilaksanakan untuk semua penduduk di enam kampung," kata jurucakap agensi pengurusan bencana tempatan, Irfan Idrus.

Tambahnya, proses pemindahan bermula pada petang Rabu, namun tergendala disebabkan masalah pentadbiran dan logistik.

Hujan sejak pagi Khamis turut menyukarkan proses pemindahan, katanya.

Menurut seorang wartawan AFP, penduduk masih menjalankan aktiviti harian di kampung masing-masing, sementara trak disiapkan untuk proses pemindahan.

"Memang ada rasa takut dan bimbang, tetapi kami sudah biasa dengan letusan di sini. Dalam seminggu, letusan boleh berlaku tiga hingga empat kali, tetapi yang paling besar berlaku minggu ini," kata seorang penduduk, Rista Tuyu.

Beliau berharap gunung berapi itu akan kembali tenang supaya komuniti kampung dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa.

Pada Januari, gunung berapi ini yang merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia dan telah meletus sebanyak sembilan kali.

Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Ibu dan pelancong dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan dalam lingkungan lima hingga enam kilometer dari puncak gunung berapi dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada abu.

Sehingga tahun 2022, kira-kira 700,000 orang tinggal di Pulau Halmahera, menurut data rasmi.

Indonesia, sebuah kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik gunung berapi kerana terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Pada November lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki, sebuah gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter di pulau pelancongan Flores, meletus lebih berpuluh-puluh kali dalam satu minggu, mengorbankan sembilan orang.

Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara pula meletus lebih daripada enam kali tahun lalu, memaksa ribuan penduduk dari pulau-pulau berhampiran berpindah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN