SANTO DOMINGO, 11 Mei - Di Ecuador 200 banduan yang melarikan diri susulan rusuhan sebuah penjara ditahan semula dalam tempoh 24 jam.
Bagaimanapun 20 lagi banduan Penjara Bellavista di bandar Santo Domingo kira-kira 80 kilometer dari Quito masih bebas.
Ketua Operasi Polis, Geovanny Ponce dalam kenyataan berkata seramai 220 banduan melarikan diri dan setakat ini 200 individu berjaya ditahan semula.
Kerajaan menawarkan ganjaran tunai sehingga AS$3,000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan semula baki 20 banduan.
(FOTO AFP)
"Buat masa ini terdapat 44 kematian, daripada laporan terakhir yang saya terima pada tengah hari, 39 daripadanya adalah rakyat Ecuador, dua warga Venezuela. 41 mayat telah dikenal pasti dan tiga lagi masih belum dikenal pasti," kata Geovanny.
Askar turut dikerah untuk membantu mencari banduan yang masih bebas.
Dalam pergaduhan antara kumpulan Los Lobos dan R7 itu, sekurang-kurangnya 44 banduan maut manakala 10 lagi cedera. - AFP