GENEVA, 11 Mei - COVID Sifar, iaitu strategi utama China untuk memerangi pandemik tidak dapat dikekalkan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Perkara itu telah dimaklumkan kepada Beijing selain menggesa peralihan dasar.
"Apabila kita bercakap tentang strategi COVID Sifar, kami tidak fikir ia mampan, dengan mengambil kira tingkah laku virus sekarang dan apa yang kami jangkakan pada masa depan," kata Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media di sini.
"Kami telah membincangkan isu ini dengan pakar China dan kami menunjukkan bahawa pendekatan itu tidak akan mampan.
"Beralih ke strategi lain akan menjadi sangat penting," katanya.
(Seorang penduduk bersama anaknya hanya mampu memerhati dari celah halangan yang diletakkan di kawasan kediaman tertutup ketika dasar sifar COVID-19 dilaksanakan di Shanghai/REUTERS)
China telah mengenakan langkah ketat, mewajibkan kebanyakan daripada 25 juta penduduk Shanghai kekal di rumah selama beberapa minggu ketika negara itu memerangi wabak terburuk sejak penularan COVID-19 bermula.
Penutupan Shanghai telah menyebabkan kemarahan dan bantahan yang jarang berlaku dalam ekonomi utama yang masih menguatkuasakan dasar COVID Sifar, sementara pergerakan di ibu kota Beijing telah disekat secara perlahan. -AFP