KIEV, 11 Mei - Presiden pertama Ukraine Leonid Kravchuk, yang memimpin negara itu melalui tahun-tahun awal kemerdekaan yang huru-hara dan bersetuju untuk melepaskan senjata nuklear Soviet negara itu, meninggal dunia.
Mendiang berumur 88 tahun.
Berita itu diumumkan Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko menerusi aplikasi media sosial, Telegram.
Sebab kematian, tidak dinyatakan.
Kesihatan mendiang dilaporkan tidak stabil, sebelum menjalani pembedahan jantung tahun lepas.
Presiden Volodymyr Zelensky menyifatkan Kravchuk sebagai "tokoh bersejarah" dan memuji peranannya dalam mengemudi negara melalui tempoh menyakitkan ketika era perpecahan Soviet.
(Presiden pertama Ukraine Leonid Kravchuk/AP)
"Beliau seorang yang sentiasa boleh mencari kata-kata bijak dan mengucapkannya dengan cara yang semua rakyat Ukraine akan mendengar," kata Zelensky.
"Ia amat penting dalam saat-saat krisis, apabila masa depan seluruh negara boleh bergantung pada kebijaksanaan seseorang.
"Leonid Kravchuk sentiasa bersama Ukraine," katanya.
Seorang bekas pegawai parti Komunis yang berkuasa, Kravchuk terkenal dengan gaya politiknya yang licik, yang membantunya menjadi pemimpin pertama Ukraine pasca-Soviet.
Seorang lelaki berambut kelabu dengan senyuman licik, Kravchuk terbukti mahir dalam tipu daya politik apabila dalam kekacauan perpecahan Soviet beliau melepaskan jawatan tertinggi Komunisnya hanya untuk muncul dalam beberapa minggu sebagai pemimpin baharu negara yang dipanggil Ukraine.
Kravchuk, yang mendapat jolokan "musang licik", berjaya naik ke jawatan tertinggi negara sebagai tokoh kompromi untuk komunis dan nasionalis.
Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya digegarkan oleh skandal inflasi dan rasuah yang melanda semasa penswastaan perusahaan milik kerajaan.
Kravchuk telah diundi keluar hanya tiga tahun setelah memegang jawatan, di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan berikutan keputusan kontroversinya melepaskan senjata nuklear negara untuk dipindahkan ke Rusia.-AFP