fb fb fb fb fb

Presiden Filipina janji tahan individu terlibat projek kawalan banjir palsu

Foto AFP

MANILA, 13 November - Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berikrar mereka yang terlibat dalam projek kawalan banjir palsu akan ditahan sebelum Krismas, beberapa hari selepas taufan berturut-turut yang menyebabkan sebahagian besar negara ditenggelami air.

Puluhan pemilik syarikat pembinaan, pegawai kerajaan dan ahli parlimen termasuk sepupu Marcos iaitu Ahli Kongres, Martin Romualdez dituduh menyeleweng dana untuk projek infrastruktur substandard atau projek “hantu”.

Kementerian Kewangan menganggarkan ekonomi Filipina mengalami kerugian sehingga 118.5 bilion peso dari 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir.

"Kes jenayah terhadap majoriti individu yang terlibat hampir selesai.

“Kami tidak memfailkan kes untuk publisiti. Kami memfailkan kes untuk menahan mereka di penjara,” katanya.

Filipina masih bergelut dengan kemusnahan yang disebabkan Taufan Super Fung-wong yang melanda negara pada Ahad malam, menyebabkan ratusan kampung ditenggelami air dan sekurang-kurangnya 27 orang maut.

Fung-wong melanda hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi yang menjejaskan bahagian tengah negara kepulauan itu dan mengorbankan sekurang-kurangnya 232 nyawa.- AFP

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN