fb fb fb fb fb

Rusia-Ukraine mulakan pertukaran banduan besar-besaran

Foto laman X Volodymyr Zelenskyy

KIEV, 9 Jun- Rusia dan Ukraine memulakan pertukaran kumpulan pertama anggota tentera yang ditangkap - sebahagian daripada perjanjian dicapai ketika rundingan damai.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi media sosial.

"Hari ini pertukaran bermula, ia akan berterusan dalam beberapa peringkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Antara yang dibawa pulang adalah mereka yang cedera parah dan mereka yang berumur bawah 25 tahun," kata Zelensky.

Menerusi kenyataan tersebut, Zelensky turut menyiarkan imej tentera yang berselimutkan bendera Ukraine, bersorak dan berpelukan.

Kementerian Pertahanan Rusia turut mengesahkan pertukaran tersebut yang merupakan sebahagian daripada perjanjian yang dicapai pada 2 Jun lalu di Istanbul.

Bagaimanapun kedua-dua pihak tidak menyatakan jumlah sebenar banduan yang dibebaskan.

Terdahulu dalam pusingan kedua rundingan, Rusia-Ukraine memaklumkan akan melaksanakan pertukaran tawanan terbesar sejak konflik bermula.

Menyaksikan jumlah keseluruhan dijangka melebihi 1,000 orang. -AFP

 

MOHAMAD KHAIRIE KHALID