fb fb fb fb fb

Rusia tingkatkan serangan di Kharkiv, lebih 4,000 penduduk berpindah

Penduduk dari Vovchansk dan kampung berhampiran menunggu bas untuk berpindah dari Kharkiv akibat serangan Rusia/ REUTERS

KIEV, 12 Mei- Lebih 4,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sempadan di wilayah Kharkiv timur laut Ukraine, berikutan serangan mengejut Rusia di kawasan sempadan negara itu pada Jumaat lalu.

Menurut Gabenor Kharkiv, Oleh Syniehubov, seramai 4,073 orang telah dipindahkan.

Bagaimanapun, beratus-ratus lagi penduduk kekal tinggal di Vovchansk, yang terletak hanya enam kilometer dari sempadan Rusia.

Synegubov berkata seorang lelaki berusia 63 tahun maut akibat tembakan artileri di kampung Glyboke dan seorang lelaki berusia 38 tahun cedera di Vovchansk iaitu sebuah bandar sempadan dengan kira-kira 3,000 penduduk sebelum serangan.

Sementara itu, dalam ucapan malam semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, pertempuran masih berterusan di tujuh buah kampung di sempadan.

“Operasi pertahanan kami diteruskan di wilayah Kharkiv. Menghalang rancangan serangan Rusia kini menjadi fokus kami," katanya.

Pegawai Ukraine telah memberi amaran selama berminggu-minggu bahawa Rusia mungkin cuba menyerang kawasan sempadan timur lautnya, menekan kelebihannya ketika bergelut dengan kelewatan bantuan dari Barat serta kekurangan tenaga kerja.- AFP.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI