fb fb fb fb fb

Rusia tangguh syarat wajib pekerja IT sertai tentera, elak penghijrahan

(Penduduk Rusia melawat “Red Square” tengah Moscow pada 28 Mac 2022/AFP)

MOSCOW, 29 Mac- Rusia hari ini menangguhkan syarat mewajibkan pekerja muda IT daripada menyertai program ketenteraan selepas penghijrahan beramai-ramai pengatur cara komputer susulan operasi tentera di Ukraine.  

Sebelum ini, kerajaan Rusia mewajibkan penduduk lelaki berumur antara 18 hingga 27 tahun menyertai khidmat tentera.

Bagaimanapun ramai yang cuba mengelak daripada menyertainya sama ada melalui pengecualian perubatan atau pendidikan dan ada juga yang tidak mengendahkan arahan tersebut.    

“Lelaki berumur 27 tahun dan ke bawah, pekerja syarikat IT boleh mangguhkan penyertaan mengikuti program khidmat tentera,” menurut dekri yang diterbitkan dalam laman sesawang kerajaan.

Syarat lain, mereka juga perlu memiliki ijazah dari universiti dan pernah bekerja di syarikat IT untuk sekurang-kurangnya selama setahun.


(Pemimpin tertinggi Rusia termasuk pemimpin tentera mengadakan taklimat
operasi ketenteraan di Ukraine pada 25 Mac 2022/AFP)

Syarikat yang ingin mendapatkan penangguhan untuk kakitangan mereka wajib menghantar senarai kepada pihak berkuasa paling lewat pada 1 Mei ini, menurut dekri tersebut.

Dekri itu turut menyatakan, pelajar universiti melibatkan lebih 60 subjek juga boleh memohon pengecualian itu termasuk subjek Matematik, Sains Gunaan Komputer dan Kejuruteraan Radio.

“Amat penting untuk tidak memperlahankan pembangunan sektor IT di negara kita meskipun dikenakan sekatan,” kata Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin menerusi satu kenyataan.

Tenaga muda Rusia dilapor meninggalkan negara secara beramai-ramai selepas Rusia memulakan tindakan ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari lalu.

Minggu lalu, Ketua Persatuan Syarikat Elektroteknik Rusia, Sergei Plugotarenko memberitahu dewan rendah bahawa lebih 70,000 tenaga muda telah meninggalkan negara. –AFP

 

 

 

Media Baharu