MOSCOW, 25 April- Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menyatakan bahawa Rusia sedia untuk mencapai perjanjian damai dengan Ukraine, menurut temu bual yang disiarkan CBS News secara dalam talian pada Khamis.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini menyebut mengenai rundingan damai dan Lavrov mengesahkan kesediaan di pihaknya.
"Kami sedia untuk mencapai perjanjian tetapi masih terdapat beberapa elemen khusus dalam perjanjian ini yang perlu diperhalusi," katanya.
Lavrov turut menyatakan bahawa terdapat "beberapa petanda" menunjukkan perbincangan sedang bergerak ke arah yang betul.
Mengulas mengenai gelombang serangan terbaru ke atas Ukraine yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan puluhan lagi di Kiev.
Lavrov menegaskan bahawa serangan Rusia hanya menyasarkan kepada ketenteraan atau tapak awam yang digunakan oleh tentera Ukraine.
"Jika tapak itu digunakan oleh tentera Ukraine, maka Kementerian Pertahanan dan komander lapangan berhak untuk menyerangnya," ujarnya.
Terdahulu pada Khamis, Trump menzahirkan kritikan terbuka kepada Kremlin melalui media sosial.
"Saya tidak gembira dengan serangan Rusia ini. Ia tidak perlu dan sangat tidak kena pada waktunya. Vladimir, berhenti!" tulis Trump.
Susulan serangan maut di ibu negara Ukraine itu, Presiden Volodymyr Zelensky memendekkan lawatannya ke Afrika Selatan dan pulang segera ke Kiev.- AFP