fb fb fb fb fb

Rusia perketat peraturan pendapatan 'ejen asing'

Ahli-ahli Parlimen Rusia berhasrat untuk memperketatkan lagi peraturan mengenai pendapatan yang diterima oleh mereka yang dianggap sebagai "ejen asing", termasuk hampir semua bentuk harta / Foto Reuters

MOSCOW, 13 Disember – Ahli Parlimen Rusia berhasrat untuk memperketatkan lagi peraturan mengenai pendapatan yang diterima oleh mereka yang dianggap sebagai "ejen asing", termasuk hampir semua bentuk harta, kata Speaker Parlimen Rusia pada Jumaat.

Undang-undang Rusia mengkehendaki mana-mana individu atau organisasi yang menerima sokongan dari luar Rusia atau yang berada di bawah pengaruh asing untuk mendaftar sebagai "ejen asing", satu label yang membawa konotasi negatif dari zaman Soviet dan memerlukan pematuhan kepada pelbagai keperluan birokratik.

Rusia menyatakan undang-undang tersebut lebih longgar berbanding dengan Akta Pendaftaran Ejen Asing Amerika Syarikat 1938, walaupun undang-undang Rusia telah digunakan kepada hampir semua pemimpin pembangkang yang terpecah dan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai simbol kehormatan.

Vyacheslav Volodin, Speaker Dewan Rendah Parlimen Rusia, berkata Duma berusaha untuk mengetatkan peraturan tersebut lebih jauh daripada yang telah dicadangkan pada mulanya.

Pada asalnya, cadangan itu adalah untuk memaksa semua "ejen asing" menggunakan akaun rubel khas untuk pendapatan daripada aktiviti intelektual, termasuk sebarang jenama, karya sains, kesusasteraan dan seni, persembahan, penyiaran, penemuan dan tanda dagangan.

Namun, Ahli Parlimen mahu mengambil langkah lebih jauh, kata Volodin.

Cadangan tambahan akan mewajibkan seorang "ejen asing" untuk memindahkan semua pendapatan daripada jualan harta, kenderaan, sebarang pendapatan daripada penyewaan harta tersebut, faedah daripada deposit dan dividen ke akaun khas tersebut.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijadualkan pada 17 Disember, kata Volodin.

Penyokong Presiden, Vladimir Putin menyatakan bahawa undang-undang "ejen asing" adalah perlu untuk menentang percubaan Barat untuk campur tangan dalam urusan dalam negeri Rusia, dalam apa yang dianggap sebagai perang proksi antara Rusia dan Barat di Ukraine.

Penentang Putin pula menyatakan bahawa undang-undang tersebut adalah sebahagian daripada sistem penindasan yang rumit yang telah menjadikan Rusia sebuah negara autoritarian yang rapuh, mengekang kreativiti seni dan sains yang terkenal.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN