MOSCOW, 8 Jun - Rusia meneruskan serangan ke atas wilayah Dnipropetrovsk timur Ukraine, satu peningkatan serangan yang ketara.
Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pasukan dari unit kereta kebal telah mencapai sempadan barat Donetsk dan terus mengatur serangan di wilayah Dnipropetrovsk.
"Kemaraan tentera Rusia ke kawasan lain di Ukraine adalah tamparan simbolik dan strategik kepada tentera Kyiv selepas beberapa bulan mengalami kemunduran di medan perang," menurut kenyataan kementerian terbabit.
Buat masa ini, tiada maklum balas segera dari Ukraine terhadap kenyataan Rusia itu.
Moscow mendakwa telah menggabungkan lima wilayah Ukraine, tetapi tidak membuat tuntutan rasmi ke atas Dnipropetrovsk.
Dalam lebih sedekad konflik dengan pemisah yang disokong Kremlin dan tentera Rusia, Ukraine tidak pernah bertempur di wilayah tengah sehingga kini.
Dnipropetrovsk ialah hab perlombongan dan perindustrian yang penting untuk Ukraine dan kemajuan Rusia ke rantau itu boleh memberi kesan yang serius kepada tentera dan ekonomi Kyiv yang sedang bergelut.
Ia dianggarkan mempunyai penduduk sekitar tiga juta orang sebelum Rusia melancarkan serangannya. Sekitar satu juta orang tinggal di ibu kota wilayah, Dnipro. - AFP.