IMPHAL, 8 Jun - Manipur dikenakan perintah berkurung dan penutupan internet susulan ketegangan etnik terbaharu yang mencetuskan pertempuran dengan pihak berkuasa.
Menurut Polis Manipur, keganasan tercetus pada Sabtu lepas dengan lima angota kumpulan radikal Meitei ditahan, termasuk seorang komander, Arambai Tenggol yang didakwa mendalangi keganasan terhadap komuniti Kuki.
"Kumpulan perusuh yang marah menuntut pembebasan mereka dan menyerbu balai polis, membakar bas dan menyekat jalan raya di bahagian ibu negeri Imphal,' kata polis dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, polis mengumumkan perintah berkurung di lima daerah, termasuk Imphal West dan Bishnupur berikutan keadaan yang semakin tegang.
"Perintah larangan telah dikeluarkan oleh Majistret Daerah. Rakyat diminta memberi kerjasama dengan perintah itu," menurut kenyataan tersebut.
Ketika ini, semua perkhidmatan internet dan data mudah alih di daerah itu ditutup selama lima hari bagi mengawal pergolakan.
Sebelum ini, jaringan internet telah ditutup selama berbulan-bulan di kawasan itu semasa penularan awal keganasan pada 2023 yang menyebabkan kira-kira 60,000 orang berpindah dari kediaman mereka.
Beribu-ribu penduduk negeri itu masih tidak dapat pulang ke rumah berikutan ketegangan yang berterusan.
Manipur mengalami konflik berkala selama lebih dua tahun antara komuniti Meitei yang majoritinya beragama Hindu dan komuniti Kuki yang kebanyakannya Kristian. Pertelagahan antara kedua-dua pihak telah mengorbankan lebih 250 orang.
Ketegangan yang berpanjangan antara komuniti Meitei dan Kuki berkisar pada persaingan untuk mendapatkan tanah dan pekerjaan awam.
Aktivis hak asasi manusia telah menuduh pemimpin tempatan memburukkan lagi perpecahan etnik untuk kepentingan politik. - AFP