fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan peluru berpandu siang hari di Kiev

(Keadaan jalan selepas serangan Rusia/REUTERS)

KIEV, 29 Mei- Serangan bertali arus peluru berpandu Rusia di Kiev menyebabkan penduduk panik dan berlari mencari perlindungan dalam serangan luar biasa pada siang hari terhadap ibu negara Ukraine itu.

Satu siri letupan dilapor kedengaran ketika Rusia menyasarkan bandar itu buat kali kedua dalam tempoh 24 jam.

Wartawan AFP mendengar sekurang-kurangnya 10 letupan dari sekitar 11:10 pagi waktu tempatan (0810 GMT), bermula hanya beberapa minit selepas amaran serangan udara dibunyikan.

Menurut pihak berkuasa, pertahanan udara Ukraine telah menembak jatuh setiap peluru berpandu Rusia yang dilancarkan di wilayah Kiev.

"Sebanyak 11 peluru berpandu ditembak: 'Iskander-M' dan 'Iskander-K' dari arah utara," kata Ketua Angkatan Tentera Ukraine, Valery Zaluzhny.

"Semua sasaran telah dimusnahkan oleh pertahanan udara," tambahnya.

Ketua Pentadbiran Bandar Kiev, Sergiy Popko berkata Rusia menyerang pada waktu pagi ketika "kebanyakan penduduk sedang bekerja dan di jalan raya".

"Rusia jelas menunjukkan bahawa mereka mahu memusnahkan penduduk awam," katanya di Telegram.

"Serpihan direkodkan jatuh di bahagian lain di bandar ini," kata Popko, sambil menambah bahawa maklumat mengenai mangsa sedang disiasat.

Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko pula memaklumkan bahawa seorang mangsa telah dimasukkan ke hospital. -AFP

(Pegawai Polis sedang memeriksa sebahagian peluru berpandu semasa serangan Rusia ke atas
Kiev pada hari Isnin/REUTERS)

Media Baharu