ODESA, 24 Julai – Pasar makanan terkenal Pryvoz di Odesa terbakar manakala beberapa bangunan kediaman dan kawasan bersejarah mengalami kerosakan selepas Rusia melancarkan serangan dron ke bandar itu awal pagi tadi.
Menurut Gabenor Wilayah, Oleh Kiper, kebakaran besar tercetus di pasar berkenaan yang digambarkannya sebagai “jantung kehidupan Odesa.” Serangan itu turut menyebabkan empat orang cedera.
“Semalam, dalam satu pertemuan di Istanbul, pihak Rusia sekali lagi diberikan cadangan untuk menghentikan tembakan serta-merta dan sepenuhnya. Sebagai balasan, dron Rusia menyerang bangunan kediaman,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi saluran Telegram beliau.
Zelenskiy turut memaklumkan sebanyak 103 dron dan empat peluru berpandu telah dilancarkan oleh Rusia dalam serangan malam tersebut.
Pusat bersejarah Odesa yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran.
Kesan letupan menyebabkan serpihan kaca bertaburan di sekitar kawasan, namun beberapa penduduk tempatan dilihat berganding bahu membersihkan jalan. -REUTERS