fb fb fb fb fb

China seru dialog aman tangani konflik Thailand-Kemboja

Foto AFP

BEIJING, 24 Julai – China menyatakan kebimbangan mendalam terhadap ketegangan yang semakin memuncak di sempadan Thailand-Kemboja dan menggesa kedua-dua negara menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan perundingan secara aman.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata Beijing akan memainkan peranan konstruktif dalam usaha meredakan konflik, dengan menegaskan bahawa China berpegang kepada pendirian yang adil dan saksama.

“Kami amat bimbang dengan perkembangan yang sedang berlaku dan berharap kedua-dua pihak dapat menangani isu ini dengan sewajarnya menerusi dialog serta perundingan,” katanya dalam satu sidang media.

Konflik tercetus apabila sebuah jet pejuang F-16 milik Thailand dilaporkan mengebom sasaran di Kemboja, menurut kenyataan daripada kedua-dua negara.

Pertempuran itu, yang berpunca daripada pertikaian sempadan berlarutan sejak beberapa minggu lalu, telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa, termasuk 11 orang awam.

Menurut tentera Thailand, daripada enam pesawat F-16 yang disediakan untuk dikerahkan ke kawasan sempadan yang dipertikaikan, satu daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah Kemboja dan memusnahkan sasaran ketenteraan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN