fb fb fb fb fb

Rusia dakwa kuasai penempatan Donetsk

Foto REUTERS

RUSIA, 22 Ogos - Rusia mendakwa tenteranya berjaya menawan sebuah penempatan penting di wilayah Donetsk dalam tempoh 24 jam lalu, manakala Ukraine pula melaporkan berjaya menguasai semula sebahagian besar kawasan Tovste serta melancarkan serangan terhadap sasaran Rusia termasuk sebuah kilang penapisan minyak.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam taklimat terbaharunya memaklumkan tenteranya menawan penempatan Aleksandro-Shultino, kira-kira 40 kilometer di utara bandar Donetsk.

"Penempatan itu dianggap strategik kerana terletak bersebelahan dengan bandar Kostyantynivka dan menjadi lokasi terakhir sebelum tentera Rusia bergerak ke arah bandar tersebut dari tenggara.

"Serangan menggunakan senjata tepat dan dron telah dilancarkan dalam tempoh 24 jam lalu, menyasarkan kilang pertahanan, kemudahan tenaga, lapangan udara tentera, sistem peluru berpandu taktikal, serta depot simpanan peluru dan logistik Ukraine," menurut taklimat itu.

Pada hari sama, Ukraine mengumumkan pasukan pertahanan negara itu, berjaya menawan semula sebahagian besar kawasan Tovste.

Media Ukraine melaporkan pasukan serangan udara turut mengusir tentera Rusia dari Kampung Zolotyi Kolodyaz' dan Petrivka, selain menyerang kilang penapisan minyak Novoshakhtinsk di Rostov, depot bahan api di Voronezh, serta gudang dron dan pusat logistik Rusia di Donetsk.

Sementara itu, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov menegaskan kehadiran tentera asing di Ukraine adalah “tidak boleh diterima” bagi Moscow, sambil menuduh kuasa Barat cuba menggagalkan rundingan Amerika Syarikat-Rusia di Alaska dan mengetepikan kepentingan Rusia.

Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Andriy Yermak pula menafikan sebarang rancangan untuk mengadakan referendum berkaitan penyerahan wilayah kepada Rusia, dengan menegaskan isu berkenaan hanya akan dibincangkan secara terus antara Presiden Volodymyr Zelensky dan Presiden Vladimir Putin. -REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM