fb fb fb fb fb

Rusia dakwa kemaraan di Pokrovsk, Ukraine tegaskan serangan berjaya dipatahkan

Foto REUTERS

KIEV, 1 Disember – Rusia pada Ahad mendakwa angkatan tenteranya terus mara di Pokrovsk, wilayah Donetsk, manakala Ukraine menegaskan mereka berjaya mematahkan beberapa siri serangan Rusia di barisan hadapan.

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pasukannya melancarkan operasi di 143 kawasan termasuk Sumy dan Kharkiv dalam tempoh 24 jam lalu, dengan menyasarkan kemudahan industri pertahanan, depot bahan api serta lokasi penempatan tentera Ukraine dan tentera upahan asing. Sistem pertahanan udara Rusia turut menembak jatuh 230 dron bersayap tetap.

Di Pokrovsk, tentera Rusia mendakwa menangkis 10 serangan balas Ukraine sambil memperkukuh kedudukan di timur dan barat laut bandar itu.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine melaporkan 271 pertempuran berlaku di garis hadapan dan pasukan Ukraine telah menyerang empat lokasi penumpuan tentera Rusia serta dua sistem artileri.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata Rusia telah melancarkan kira-kira 1,400 dron, 1,100 bom udara berpandu dan 66 peluru berpandu terhadap Ukraine sepanjang minggu lalu.

Dalam perkembangan berasingan, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova mengecam serangan Ukraine terhadap dua kapal tangki dan pelabuhan Novorossiysk di Laut Hitam, mendakwa ia mengancam keselamatan pelayaran serta infrastruktur tenaga global.

Rusia turut menggesa masyarakat antarabangsa mengecam serangan berkenaan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN