TAITUNG, 1 Disember – Syarikat penerbangan Taiwan, Apex Aviation menawarkan perkhidmatan penerbangan pengawasan bagi membantu kerajaan menentang pencerobohan harian China di ruang udara dan perairan sekitar pulau itu.
Pesawat ringan syarikat itu dilengkapi radar buatan Amerika Syarikat yang mampu mengesan objek sekecil 0.09 meter persegi.
Apex, yang terkenal dengan latihan juruterbang dan penerbangan sewa, bercadang menjalankan operasi pengawasan secara dalaman sambil menyalurkan data kepada tentera dan pengawal pantai Taiwan.
Kos operasi pesawat ringan dikatakan serendah satu persepuluh daripada pesawat tentera.
Pesawat ringan Apex Aviation dilengkapi radar yang mampu mengesan objek sekecil 0.09 meter persegi/REUTERS
Kerajaan Taiwan kini mendorong inisiatif ketahanan seluruh masyarakat, yang melibatkan firma swasta, kumpulan penyelidikan dan organisasi lain dalam pembangunan teknologi pertahanan, termasuk komunikasi, logistik, dan pengumpulan risikan.
Walaupun kementerian pertahanan bersikap berhati-hati, ia tetap terbuka kepada idea baharu bagi memperkukuh pertahanan negara.
Apex juga melihat peluang perniagaan di peringkat serantau, menawarkan perkhidmatan pengawasan kos rendah kepada kerajaan yang memantau aktiviti China.
Isu keselamatan dan undang-undang menjadi cabaran utama. Penerbangan Apex ke Kinmen pada Jun lalu diikuti beberapa pesawat tentera China, menimbulkan kebimbangan terhadap gangguan zon kelabu.
Menurut Pengerusi Apex, Wilson Kao, syarikat telah meneliti risiko sebelum memulakan projek itu dan akan terus maju walaupun berdepan gangguan.
Selain itu, kerajaan Taiwan turut mempromosi penglibatan swasta dalam pembangunan dron laut, termasuk generasi baharu SeaShark 800 buatan Thunder Tiger, yang mampu membawa 1,200 kg bahan letupan dan bergerak sejauh 500 km.
Pegawai keselamatan Taiwan menegaskan, pendekatan tentera-swasta perlu ditangani serius kerana tekanan operasi tentera meningkat akibat strategi baharu tentera China. -REUTERS