fb fb fb fb fb

Rusia beri penghormatan terakhir kepada Gorbachev

MOSCOW, 3 September - Rakyat Russia memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin terakhir Soviet, Mikhail Gorbachev, dalam satu majlis yang diadakan di sini tanpa upacara penghormatan pengebumian negara selain tiada kehadiran Presiden Vladimir Putin.

Orang ramai berkabung dan beratur melewati keranda Gorbachev yang dikawal pengawal kehormat di Hall of Columns di dalam bangunan bersejarah di pusat Moscow, yang secara tradisinya digunakan untuk pengebumian pegawai tinggi termasuk Joseph Stalin pada tahun 1953.

Selepas beberapa jam keranda itu dibawa keluar dari dewan dalam perarakan yang diketuai oleh Dmitry Muratov, ketua pengarang pemenang Hadiah Keamanan Nobel akhbar bebas Novaya Gazeta, yang dibantu oleh Gorbachev.

Keranda Gorbachev dibawa ke Tanah Perkuburan Novodevichy Moscow yang berprestij, di sebelah isterinya Raisa, yang meninggal dunia pada 1999 akibat kanser.

(FOTO AFP)

Russia dipinggirkan berikutan kempen ketenteraannya di Ukraine, justeru tiada pemimpin asing dijangka menghadiri pengebumian yang dijangka suram untuk mengingati seorang tokoh politik besar abad ke-20.

Gorbachev yang dikenali di Barat sebagai Gorby, meninggal dunia Selasa lalu pada usia 91 tahun berikutan penyakit yang serius dan lama.

Menurut Kremlin, tidak akan ada hari berkabung kebangsaan untuk Gorbachev seperti mana kebiasaan kematian pemimpin Soviet dan Russia, selain hanya akan ada kawalan kehormat. - AFP

Media Baharu