fb fb fb fb fb

Runtuhan batu: Perkhidmatan kereta api Perancis-Itali dihentikan

(FOTO AFP)

SAINT-ANDRE, 29 Ogos- Perkhidmatan kereta api antara Perancis dan Itali dihentikan sehingga Khamis ini, apabila berlaku gelongsoran batu besar di lembah Maurienne dekat Pergunungan Alps di sini yang turut menghalang beberapa laluan jalan raya.

Pihak berkuasa wilayah di Savoie memaklumkan, gelongsoran batu dengan jumlah isipadu 700 meter padu (25,000 kaki padu) berlaku pada Ahad lalu, kira-kira pukul 5.15 petang.

Runtuhan itu memaksa penggantungan semua perkhidmatan kereta api rentas sempadan di laluan Chambery-Turin, serta kereta api wilayah TER di lembah Maurienne, kata pengendali kereta api Perancis, SNCF.

Terowong Frejus menghubungkan Perancis dan Itali di bawah Alps juga ditutup kepada trak berat.

Pengguna dinasihat untuk menggunakan terowong Mont Blanc atau lebuh raya A8 sebagai laluan alternatif.

Ketua Cuaca Meteo France bagi Pergunungan Alps, Denis Roy berkata, runtuhan berlaku berikutan hujan lebat dengan aliran air yang cukup deras, setelah gelombang panas melanda seluruh Alps.

Pada 2019, kejadian banjir lumpur telah menghentikan laluan kereta api Perancis-Itali selama tiga minggu selepas trek sepanjang 60 meter terjejas bencana. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu