fb fb fb fb fb

Rundingan Ukraine-Rusia bermula tanpa kehadiran Putin

Vladimir Putin / Foto AFP

ISTANBUL, 15 Mei – Delegasi Rusia tiba di Istanbul pada Khamis bagi menghadiri rundingan damai secara langsung yang pertama dengan Ukraine dalam tempoh lebih tiga tahun, namun tanpa kehadiran Presiden Vladimir Putin, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap potensi kemajuan rundingan tersebut.

Kremlin mengumumkan senarai rasmi pasukan perunding Moscow tanpa menyenaraikan nama Putin, sehari selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mencabar pemimpin Rusia itu hadir secara peribadi ke meja rundingan.

Ketiadaan tokoh-tokoh utama lain seperti Menteri Luar, Sergei Lavrov, dan penasihat dasar luar, Yuri Ushakov, turut menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan Rusia dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa sejak ia bermula pada Februari 2022.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam kenyataannya berkata beliau bersedia untuk ke Turki pada Jumaat sekiranya terdapat tanda-tanda kemajuan dalam rundingan itu.

“Saya masih membuka kemungkinan untuk ke Turki, bergantung kepada apa yang berlaku dalam rundingan ini,” ujar Trump kepada media di Washington.

Konflik yang telah berlangsung selama lebih dua tahun itu merupakan peperangan paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, dengan Rusia kini menguasai hampir satu perlima daripada wilayah Ukraine.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, ketika ditemui wartawan menyatakan delegasi Rusia “bersedia untuk bekerja secara serius”.

Sementara itu, menurut seorang pegawai Ukraine, Presiden Zelensky kini dalam perjalanan ke Ankara untuk bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, keputusan mengenai penglibatan Ukraine dalam rundingan tersebut hanya akan dibuat selepas pertemuan dua hala itu.

“Presiden memulakan lawatannya dengan bertemu Erdogan di Ankara, dan hanya selepas itu beliau akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” ujar pegawai tersebut.

Ratusan wartawan telah berkumpul di Istana Dolmabahce, Istanbul, yang menjadi lokasi rundingan tersebut.

Rundingan itu dilihat sebagai percubaan terbaharu untuk meredakan konflik, namun ketiadaan pemimpin tertinggi dari kedua-dua belah pihak menimbulkan keraguan terhadap hasil yang boleh dicapai.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN