fb fb fb fb fb

India gesa senjata nuklear Pakistan diletak bawah pengawasan PBB

Foto Reuters

SRINAGAR, 15 Mei - India menggesa agar senjata nuklear Pakistan diletakkan di bawah pemantauan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) susulan ketegangan yang tercetus minggu lalu antara kedua-dua negara berjiran yang bersenjata nuklear.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh, dalam satu ucapan kepada anggota tentera di sebuah pangkalan tentera di Srinagar, mempersoalkan keselamatan senjata nuklear Pakistan dan mencadangkan agar ia diletakkan di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Saya ingin ajukan soalan ini kepada dunia... adakah senjata nuklear Pakistan selamat?" kata beliau.
"Senjata nuklear Pakistan sepatutnya diletakkan di bawah pengawasan IAEA," tambahnya lagi.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas India dan Pakistan mengumumkan gencatan senjata pada Sabtu lalu, menamatkan konflik ketenteraan paling buruk antara mereka dalam tempoh hampir 30 tahun.

Pertempuran tersebut tercetus apabila India melancarkan serangan udara ke atas apa yang digambarkan sebagai “infrastruktur pengganas” di wilayah Pakistan, pada hari Rabu minggu sebelumnya.

Pakistan segera bertindak balas dengan serangan artileri, mencetuskan pertempuran selama empat hari yang menyebabkan kira-kira 70 orang terkorban di kedua-dua pihak.

India menuduh Pakistan menyokong kumpulan pejuang yang didakwa bertanggungjawab ke atas serangan di Kashmir yang ditadbir India pada April lalu, yang mengorbankan 26 nyawa.

Islamabad bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Dalam pada itu, India turut menafikan pihaknya menyasarkan kemudahan nuklear Pakistan semasa pertempuran itu berlangsung.

“Kami tidak menyerang Kirana Hills,” kata Panglima Udara India, A.K. Bharti kepada media, merujuk kepada kawasan pergunungan berbatu yang luas yang menurut laporan media India, merupakan lokasi simpanan senjata nuklear Pakistan.

Ketegangan terbaharu itu membangkitkan semula kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap risiko tercetusnya perang berskala besar antara dua kuasa nuklear Asia Selatan itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN