MOSCOW, 8 Jun – Rusia mendakwa Ukraine menangguhkan pelaksanaan pertukaran tawanan perang dan mayat tentera yang terkorban, walaupun kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dalam rundingan di Istanbul.
Pembantu Presiden Rusia, Vladimir Medinsky berkata operasi kemanusiaan telah dilancarkan bagi menyerahkan lebih 6,000 mayat tentera Ukraine serta melaksanakan pertukaran tawanan muda dan yang cedera.
Sebanyak 1,212 mayat telah dihantar, dan senarai 640 tawanan telah dikemukakan kepada Ukraine.
Namun, beliau mendakwa Ukraine menangguhkan proses tanpa alasan dan gagal hadir ke lokasi pertukaran.
Sebaliknya, Ukraine menafikan tuduhan itu dan menyatakan Rusia telah mengemukakan senarai yang tidak menepati syarat pertukaran.
Ukraine juga telah memberikan maklum balas dan menunggu tindakan lanjut dari pihak Rusia.
Rundingan terakhir menyaksikan persetujuan pertukaran “semua untuk semua” termasuk tahanan yang cedera parah, cedera dan bawah 25 tahun, manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyatakan pertukaran “500 lawan 500” dijangka berlangsung hujung minggu ini.-REUTERS