LOS ANGELES, 8 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan penempatan 2,000 anggota Pasukan Pengawal Nasional ke Los Angeles pada Sabtu, susulan tunjuk perasaan yang berterusan terhadap operasi mengejut imigresen oleh ejen persekutuan di bandar itu.
Ketegangan memuncak apabila agen keselamatan berdepan dengan kira-kira 100 penunjuk perasaan di kawasan Paramount, tenggara Los Angeles, di mana ada peserta yang mengibarkan bendera Mexico dan sebahagian lagi menutup mulut mereka dengan topeng pernafasan sebagai simbol protes.
“Pasukan Pengawal Nasional akan dihantar ke Los Angeles pada malam Sabtu,” kata pegawai kanan sempadan Trump, Tom Homan, dalam temu bual bersama Fox News.
Gabenor California, Gavin Newsom, menyifatkan keputusan itu sebagai “sengaja mencetuskan provokasi.”
Trump pula dalam kenyataan di platform Truth Social miliknya menulis:
“Jika Gabenor Gavin Newscum dari California, dan Datuk Bandar Karen Bass dari Los Angeles, tidak mampu menjalankan tugas mereka – seperti yang diketahui semua – maka Kerajaan Persekutuan akan masuk campur dan selesaikan masalah rusuhan dan penjarahan seperti yang sepatutnya!!!”
Tunjuk perasaan itu memperlihatkan ketegangan antara pentadbiran Persekutuan yang diterajui Republikan dan kerajaan tempatan di Los Angeles yang ditadbir Demokrat, sebuah bandar yang menurut data bancian mempunyai sebahagian besar penduduk berketurunan Hispanik dan lahir di luar negara.
Tindakan keras terhadap imigresen telah menjadi antara keutamaan utama dalam penggal kedua pentadbiran Trump.-REUTERS